Monday, March 1, 2010

SAMBUTAN MAJLIS MAULIDIN NABI S.A.W (suatu perkongsian)


Alhamdulillah, kami ucapkan syukur kehadrat Allah s.w.t kerana diberikan kurniaanNya dan limpahanNya dengan diberi peluang untuk kami membetulkan setengah-setengah tanggapan mengenai perihal meyambut Maulid Nabi sebagai suatu larangan atau penyelewangan orang-orang Islam zaman sekarang.
Sudah menjadi satu amanah dan tanggung-jawab kami sebagai umat Islam untuk tegur-menegur jika terdapat kesilapan atau kekeliruan antara umat Islam apatah lagi umat Islam senegara. Dan jika kami diamkan perkara ini, takut-takut nanti akan tersebar lebih luas lagi dan kami akan dipersoalkan nanti dihadapan Allah s.w.t kerana tidak menjalankan tugas da'wah atau amar ma'ruf dan nahi munkar.
Marilah kita duduk sebentar membincangkan secara ilmiah mengenai amalan maulid Nabi s.a.w.

1-Masalah Sambutan Maulid adalah masalah Furu'.
Pertama sekali harus kita faham bahawa Rasullullah s.a.w hidup di dunia ini selain dari berjihad untuk menyiarkan Islam dan menanamkan tauhid yang sebenarnya juga sebagai pengajar kepada manusia cara hidup yang benar berlandaskan Al-Quran dan Sunnahnya. Agama Islam telah sempurna sebelum beliau wafat dengan diterangkan perkara-perkara yang dilarang dan perkara yang diperintahkan. Maka perkara-perkara usul ( masalah-masalah yang besar dari hukum-ahkam agama ) telah semuanya dinyatakan hanya masalah-masalah furu' ( masalah-masalah yang kecil dari hukum-ahkam agama ) ditinggalkan bagi para ulama menghukumkannya kerana mereka adalah pewaris-pewaris Nabi, firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 43 :
Maka bertanyalah kepada mereka yang mengetahui ( para Ulama ) jika kamu tidak ketahui.
Allah sendiri dengan jelas menyuruh kita merujuk perkara yang tidak diketahui kepada para Ulama terutama sekali dalam masalah-masalah kecil seperti ini ( furuiyyat ) kerana mereka akan menjawabnya menerusi dalil-dalil usul yang sudah disempurnakan semuanya didalam Al-Quran dan Sunnah Nabi.
Sebagaimana tersebut dalam Hadith yang masyur, mafhumnya : Aku tinggalkan dua perkara ini jika kamu berpegang dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya....Al-Kitab dan As-Sunnah. Ini adalah sebab semua kaedah usuliyyah ( masalah-masalah dasar ) telah dimuatkan didalamnya untuk kemudahan menyelesaikan masalah-masalah yang kecil nanti.
Disini harus kita ambil-kira bahawa pandangan ulama itu ada sahamnya dalam perbentukan syariat kerana mereka tidak akan sekali-kali membuat keputusan yang bercanggah dengan perkara-perkara usul ( hukum dasar ). Mereka selalu berjaya dalam mengaitkan hukum-hukum furu' dengan hukum-hukum asal ( usul ) yang telah dibina dan ditinggalkan oleh Rasullulah s.a.w. sebagai ikutan dan pedoman setiap generasi sepanjang zaman.
Masalah menyambut kelahiran Nabi s.a.w adalah masalah furu' yang tidak perlu kita bertelagah antara kita selagi ianya tidak melanggar 'aslulhukum' ( hukum asal ) dan Maqasid Syariah Islamiah ( Kepentingan/Keperluan Terbesar dalam Syariah Islamiah iaitu pemeliharaan 1-agama 2-aqal 3- harta 4- jiwa 5-keturunan ).

2-Perkara-Perkara Yang Ditinggalkan Nabi Bukanlah Satu Larangan.
Banyak perkara atau perbuatan orang-orang Islam hari ini tidak pernah diamalkan oleh Nabi dan ianya tidak bercanggah dengan hukum asal ( syara' ) samada dari bacaan tahlil, maulid , zikir-zikir, talkin mayat dan sebagainya, kerana tidak terjumpa penjelasan amalan itu dari Al-Quran dan Sunnah tetapi diterima sebagai amalan-amalan yang 'mustahab'( yang digalakkan ).
Kaedah ini diperolehi dan menjadi rujukan dari firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hasyar ayat 7 :
Apa yang didatangkan kepadamu oleh Rasul itu ( Nabi Muhammad s.a.w ) ambillah ianya sebagai pegangan ( sunnah ) dan apa yang ditegahnya daripada melakukannya maka kamu jauhi.
Para Ulama telah mengeluarkan satu kaedah dari ayat ini bahwa perkataan 'didatangkan' dari ayat diatas itu, di lawankan Allah dengan perkataan 'ditegahnya' padahal kata lawan bagi perkataan 'didatangkan' itu adalah 'ditinggalkan.' Ini berarti apa yang 'didatangkan' adalah perkara yang sabit dalam sunnah dan perkara yang ditegah sahaja yang dilarang diamalkan sedangkan perkara yang ditinggalkan bukanlah larangan tetapi jika amalan itu tergolong dan diterima dari sudut syara' ( tidak melanggar hukum dasar ) hukumnya 'Mustahab' ( dibolehkan dan digalakkan ) dan jika ianya jelas melanggar syara' ( melanggar hukum dasar ) ianya adalah Haram.
Disinilah kita perlukan bimbingan para Ulama' sebagai pewaris Nabi kerana mereka telah diamanahkan untuk menentukan hukum bagi perkara-perkara kecil yang ditinggalkan Nabi . Dan ada juga hukum itu tidak ditetapkan oleh para Ulama tetapi dihukum oleh orang-orang Islam itu sendiri, sebagaimana sabda Nabi s.a.w :
Apa-apa yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu yang elok, maka ia adalah elok disisi Allah, dan apa-apa yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu yang keji, maka ia adalah keji disisi Allah .( Hadith ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad dari Ibnu Mas'ud ).
Amalan Menyambut maulid ini sudah dianggap mulia dan baik olek seluruh masyarakat Islam dari seluruh pelusuk Dunia Islam sejak zaman Tabiin hingga ke hari ini. Imam Hasan Al-Basri adalah seorang pengemar membaca Maulid S.A.W sedangkan beliau adalah seorang tabi'in.

3-Menyambut Hari Kebesaran dan Bersempena Dan Menziarahi Tempat-tempat Suci / Sejarah Islam Adalah Sebahagian Dari Syiar Islam.
Agama Islam mengajar kita bahwa mengenang peristiwa sejarah Islam adalah sebahagian dari kesopanan dan pengetahuan sejarah umat Islam itu sendiri sebahagian dari pendidikan. Setengah-setengahnya dijadikan dalam perjalanan syariat dan sebahagiannya dilonggarkan. Sebagai contoh peristiwa 9, 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah peristiwa-peristiwa yang berlaku dizaman Nabi Ibrahim tetapi dijadikannya sebahagian dari syariat Nabi Muhammad.
Begitu juga 10 Muharam, asalnya orang-orang Yahudilah yang menyambutnya dengan berpuasa sebagai tanda syukur bahwa Allah menolong Nabi Musa dan Bani Israil dari kezaliman tentera Firuan dan menenggelamkan mereka di Laut Merah. Lalu Nabi memberitahu sahabatnya bahawa kita lebih berhak menyambut hari tersebut dari orang-orang Yahudi dengan berpuasa pada 9 dan 10 Muharam. ( sila rujuk sirah Nabi Ibnu Hisyam ).
Dan sudah tentu banyak lagi peristiwa-peristiwa yang dijadikan syariat bagi umat ini mengikut tarikh-tarik tertentu . Mengenang peristiwa dan menghurmati setengah-setengah tempat telah diajar dalam syariat kita. Ini banyak dicontohi oleh Nabi sendiri. Beliau bukan sahaja menyambut dan menghurmati hari-hari tertentu itu bahkan Jibril memberitau Nabi tempat-tempat yang mempunyai sejarah dalam dunia Islam. Jika kita perhatikan perjalanan Nabi waktu Isra' dan Mi'raj Nabi diajak oleh Malaikat Jibril agar berhenti dari perjalanan dan melakukan solat kerana mengambil 'tabarruk' dari tempat-tempat tertentu seperti tempat lahirnya Nabi Isa, kubur Nabi Musa dan sebagainya.
Kesimpulan dari yang disebutkan diatas, Nabi sendiri menyambut peristiwa-peristiwa besar sama ada dari sudut zaman ( tarikh ) dan makan ( tempat ). Baginda sangat mencintai tempat-tempat sejarah dan tempat-tempat yang mempunyai kenangan yang manis waktu kecilnya, baginda juga tidak ketinggalan menziarah kubur para shuhada' Uhud kerana mengenang jasa-perjuangan mereka. Kesemuanya ini ( menghurmati tempat dan menyambut hari-hari tertentu ) adalah syiar Islam yang diajar oleh Allah kepada kita menerusi perbuatan Nabinya. Nabi sendiri menyambut hari kelahirannya dengan berpuasa pada setiap hari Isnin. Walaupun ianya sebagai syiar Islam yang murni tetapi ianya juga menguatkan dan memantapkan jiwa perjuangan.
Memberi penghurmatan bagi tempat-tempat suci dan sejarah Islam dan menyambut hari-hari kebesaran Islam hanya terbit dari hati yang bertaqwa, firman Allah dalam surah Al-Haj ayat 32:
Barangsiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah sesungguhnya ianya adalah terbit dari hati-hati yang bertaqwa.
Penjelasan dari ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa mengikut kaedah 'Fahmul Mukhalafah' iaitu makna sebalik dari pengertian ayat diatas bahawa mereka-mereka yang tidak mengagungkannya adalah kerana ketandusan hati dari taqwa. Dan ciri-ciri orang yang bertaqwa mereka-mereka yang menyambut hari kelahiran Nabi Pembimbing Manusia kejalan ketaqwaan.
Allah bukan sahaja menyuruh kita agar mengagungkan hari-hari atau tempat-tempat yang menjadi syiar Islam sahaja malah Allah menyuruh kita agar bergembira dengan rahmat dan kurniaannya. Dalam hal menyambut kelahiran Nabi termasuk hal-hal yang mengembirakan orang-orang Islam kerana dengan wujudnya Nabi adalah rahmat Allah yang terbesar sebagaimana firman yang termashur dalam surah Al-Anbiya ayat 107 : Tidak kami utusmu ( wahai Muhamad ) melainkan sebagai rahmat sekalian alam. Firman Allah yang membawa makna agar kita bergembira dengan rahmatnya , dalam surah Yunus ayat 58 :
Katakanlah( wahai Muhamad ), hendaklah mereka bergembira dengan kelebihan dan rahmat yang dikurniakan oleh Allah kepada mu.
Mereka-mereka yang tidak gembira dengan rahmat Allah yang besar ini ( kelahiran Nabi ) dalam rangka bersyukur kepada ni'matNya adalah lebih hina disisi Allah dari Abu Lahab kerana beliau sendiri bergembira pada malam kelahiran Nabi hingga sanggup memerdekakan seorang hambanya.
Untuk membuktikan demikian, telah berkata Al-Hafiz Syamsuddin Muhamad Nasiruddin Ad-Dimisyqi dalam syairnya:
Kalaulah si kafir ini yang sudah tentu dicela di dalamAl-Quran di neraka JahimTersebut pada setiap Isnin senantiasa dianugerahi keringanan siksa kerana gembiranya tentang kelahiran NabiApatah lagi seorang hamba yang sepanjang hayatnya bergembiraMenyambut Maulid junjungannya dan mati dalam keadaan mengesakan Tuhannya.
Kisah ini diriwayatkan dalam Sohih Bukhari , bab nikah dan dinukil oleh Ibnu Hajar dalam kitabnya Al-Fath . Juga diriwayatkan oleh Imam Abdur Razak As-San'ani dalam kitabnya Al-Musannif ( jilid 7 m/s 478 ), Al-Hafiz dalam kitabnya Ad-Dala'il, Ibnu Kathir dalam kitabnya Al-Bidayah bab As- Sirah An-Nabawiyyah ( jilid 1 m/s 224 ). Ibnu Dibai dalam kitabnya Hada iqul Anwar ( jilid 1 m/s 134 ), Imam Hafiz Al-Baghawi dalam kitabnya Syarah As-Sunnah ( jilid 9 m/s 76 ), Ibnu Hisyam dan As-Suhaili dalam kitab Ar-Raudhul Unuf ( jilid 5 m/s 192 ), Al-Amiri dalam kitabnya Bahjatul Mahaafil ( jilid 1 m/s 41 ).
4- Kisah Maulid Nabi Adalah Penguat Jiwa Umatnya.
Kesemua sempena dan kisah-kisah sejarah para Nabi yang telah diceritakan Allah dalam Al-Quran itu menguatkan perjalanan da'wah Nabi s.a.w dan jiwanya, firman Allah dalam surah Hud ayat 120:
Dan tiap-tiap perkhabaran yang Kami ( Allah ) khabarkan kepadamu ( Wahai Muhammad ) dari cerita Rasul-rasul itu adalah sebagai penetap hatimu.
Para Ulama' telah memberikan penjelasan dari ayat diatas bahwa jika cerita-cerita para Nabi itu yang telah diceritakan Allah dalam Al-Quran itu, adalah sebagai penguat atau penetap hati atau jiwanya maka sudah tentu kisah-kisah dalam hidup Penghulu segala Rasul itu ( Muhammad s.a.w ) dari sudut kelahiran, perjuangan dan akhlak baginda ( sebagaimana yang tersebut dalam kebanyakkan kitab-kitab Maulid ) sebagai penguat dan penetap jiwa dan hati umatnya.

5-Puji-pujian Terhadap Nabi Adalah Ciri Kecintaan dan Keimanan.
Sebelum kita membincangkan lebih lanjut mengenai puji-pujian, madah dan sebagainya perlu kita terlebih dahulu melihat dahulu samada perkara ini sabit dalam syara' atau tidak. Puji-pujian yang dimaksudkan disini adalah puji-pujian yang membangkitkan keinsafan dalam hati pemuji sebagai tanda syukur kerana telah dianugerahkan Allah kepadanya Nabi Pembimbing Yang Agung itu dan sebagai pendorong untuk memuliakannya sebagaimana yang diperintahkan Allah lalu terlihat keagungan peribadinya agar pemuji itu dibukakan pintu untuk mencintainya lalu segala tindak-tanduk yang dicintai itu mudah diikuti.
Kami mulakan perbincangan ini dengan sebuah Hadith yang telah disalah tafsirkan oleh sebilangan manusia dan dijadikan dalil bagi hujjah-hujjah yang tidak pada tempatnya iaitu sabda Nabi s.a.w :
Jangan kamu mendewakan ku sebagaimana orang-orang Nasrani mendewakan anak Maryam.
Penjelasan dari Hadith diatas bahawa larangan itu dari sudut 'mendewakan' kerana dalam bahasa Arab perkataan ( Atra ) yang dilarang artinya melampaui dalam puji-memuji atau lebih tempat dengan perkataan mendewakannya. Larangan ini sebenarnya berdasarkan perbuatan orang-orang Nasrani yang telah mendewakan Isa itu hingga mereka mengatakan : 'Isa itu anak tuhan' lalu mereka telah melakukan syirik dalam memuji-muji nabi mereka tanpa disedari.
Adapun memuji Nabi s.a.w dengan penuh i'tiqad bahawa beliau adalah manusia biasa dan hamba Allah dan utusannya dan menjauh segala 'pendewaan' terhadapnya adalah suatu perkara yang dibolehkan kerana beliau adalah manusia yang paling sempurna dalam mentauhidkan Allah dari kalangan manusia.
Memuji-muji beliau seperti ini bukan sahaja dibolehkan bahkan digalakkan kerana termasuk salah satu perintah Allah yang umum yang berbunyi :
Sesungguhnya kami mengutusmu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasulnya, memuliakannya ( Rasul ) dan menghurmatinya ( Rasul ) dan bertasbih kepadaNya ( Allah ) di waktu pagi dan petang. (Surah Al-Fath ayat 8-9)
Dari ayat diatas secara umum memuliakan nabi bukan setakat memuji-muji tetapi juga mengikuti setiap jejak langkahnya atau syariat Allah. Walaubagaimanapun masih terdapat ramai para sahabat yang senang dengan memuji-muji Nabi baik secara tulisan mahupun secara lisan.(sila rujuk sejarah peradaban sastera Arab zaman Muhadrami ).
Sebagai menguatkan contoh diantara para sahabat yang sibuk membela Nabi dengan syairnya dengan puji-pujian, beliau adalah Hasan Bin Sabit r.a . Beliau mohon izin dari Rasulullah s.a.w untuk membelanya dan menyerang orang-orang musyrikin tanpa mengikuti dalam peperangan jihad, lalu apabila ditanya oleh Rasulullah ,bagaimanakah caranya itu beliau menjawab dengan tulisan-tulisanku, lantas Rasulullah meluluskan permohonannya sambil bersabda : Serangilah mereka , Ruh Qudus ( Jibril a.s. ) bersamamu dan tanyalah Abu Bakar ( mengenai kelemahan-kelemahan orang-orang musyrik yang akan diserang ). ( sila rujuk kitab Ibnu Hisyam dalam perihal penyair Muhadrami dari kalangan sahabat ).
Dan banyak lagi penyair-penyair Islam dalam kalangan sahabat yang tidak lari dari memuji-muji Nabi dan tidak sedikit pun ditegur oleh Nabi atau melarangnya. Malah Ka'ab bin Zuhair r.a pernah membaca beberapa rangkap qasidah yang ada didalamnya puji-pujian kepada Nabi sebaik sahaja selepas menunaikan solat di masjid lantas Nabi menghadiahkan langsung pakaian 'burdah' (selimut pada musim sejuk ) kepadanya. ( sila rujuk kitab Adab Nususuhu wa Tarikhuhu).
Kami kira cukuplah satu contoh puji-pujian yang dibolehkan sebagai satu dorongan kepada kita untuk melihat atau membuat rujukan dalam dunia sastera Arab dan syairnya dalam zaman Nabi dalam kitab-kitab sastera. Kami tidak bawakan disini Nas atau syair-syair mereka kerana seluruh perengan syairnya berkaitan dan tidak mudah difahami dengan menyebut sebaris dua.
Sebagai ringkasan untuk menguatkan hujjah selepas meneliti syair puji-pujian dari sudut sastera Arab dan penyair dari kalangan sahabat marilah kita melihat salah satu Hadith dari beberapa Hadith yang mengizinkan memuji Nabi , dari Anas bin Malik berbunyi:
Beberapa orang Habsya telah menari dihadapan Nabi dan mereka berkata : 'Muhammad Hamba yang Solih'( dalam bahasa mereka ). Maka bertanya Rasulullah s.a.w " Apa yang mereka katakan ? Dikatakan : Mereka mengatakan : 'Muhammad Hamba yang Solih'. Maka apabila Rasulullah s.a.w melihat mereka dalam keadaan sedemikian beliau tidak mencegah mereka dan beliau bersetuju atas perbuatan mereka. ( Hadith riwayat Imam Ahmad ).
Hadith ini juga adalah salah satu dari Hadith Taqrir yang mana persetujuan Nabi diperolehi menerusi diamnya. Dan dari perbuatan para sahabat dan keterangan dari Hadith jelas bahawa puji-pujian termasuk ciri kecintaan dan keimanan.

6- Amalan Sambutan Maulid Nabi Berasal Dari Amalan Para Ulama'
Marilah kita merenung sejenak dan membaca pandangan-pandangan para ulama kita yang menjadi pewaris para nabi mengenai harusnya menyambut Hari Keputraan nabi sebelum kita membuat keputusan yang melulu dari akal fikiran kita yang citik diikuti pula dengan kejahilan dalam hukum ahkam agama. Diantaranya :
1- Imam Abu Said Al-Hasan Al-Basari r.a. lahir pada tahun 21hj dan wafat pada 110hj. Beliau termasuk dalam golongan tabi'in dan ulama dalam kalangan mereka menurut setengah riwayat beliau pernah berjumpa dengan Saiyidina Ali k.m. Beliau berkata :
Sekiranya aku mempunyai emas sebesar bukit Uhud akan aku nafkahkan untuk membaca Maulidur Rasul.
Selain dari ganjaran yang terdapat dalam menafkahkan harta-benda dalam majlis sambutan maulid, kata-kata ini juga membayangkan sejarah perkembangan awal Islam dan 'lampu hijau' bagi kita untuk sambut dan membaca maulid.

2- Sheikh Ma'ruf bin Fairuz Al-Karkhi r.a. seorang ulama tasauf pada zamannya . Beliau wafat pada tahun 200hj beliau telah berkata :
Barangsiapa menyiapkan makanan bagi bacaan maulid nabi s.a.w dan mengumpulkan saudara-saudara dan memasang lampu-lampu dan memakai pakaian bersih dan kemas dan berwangi-wangian dan bercantik-cantik kerana mengagungkan majlis maulid nabi s.a.w . Allah akan kumpulkannya pada hari kiamat bersama-sama golongan pertama dari golongan para nabi dan berada di dalam shurga Illiyin.
Moga-moga kita diberi hidayat dan taufiq untuk menghadirkan diri di majlis-majlis maulid kerana kelebihan-kelebihannya yang besar ini.

3- Sheikh Sirri bin Mughallis As-Saqhoti r.a. . Seorang ulama tasauf yang telah wafat pada tahun 253hj. Telah berkata :
Barangsiapa menuju ke suatu tempat yang ada disana bacaan maulid Nabi s.a.w. Maka sesungguhnya dia menuju sebuah taman dari taman-taman syurga kerana dia tidak menuju ke tempat demikian melainkan kerana cinta kepada Rasullulah. Dan telah bersabda: Barangsiapa mencintaiku dia akan bersamaku disyurga.

4-Al-Imam Ahmad Ibnu Hajar Al-Haithami, seorang faqih bermazhab Shafie, lebih terkenal dengan Ibnu Hajar Al-Haithami , beliau dilahirkan pada tahun 909hj dan wafat pada tahun 974hj.Beliau telah membuat komentar dalam kitab Fatwanya dalam bab Perhimpunan dengan bacaan Maulid atau zikir-zikir m/s 150 cetakan Maktabah Mustafa berbunyi ,telah ditanyakan mengenai hukum majlis-majlis maulid dan majlis-majlis zikir yang telah dilakukan oleh orang ramai pada zaman itu samada ianya adalah sunnah atau satu kelebihan atau bid'ah yang keji ? Lalu Ibnu Hajar menjawab :
Majlis-majlis maulid dan zikir-zikir yang sedang dilakukan sepertimana ditempat kami kebanyakannya mengandungi kebaikan seperti sedeqah, zikir , doa dan selawat keatas nabi s.a.w dan memujinya ........( sila Fatawa Hadithiya ).

5- Imam Abu Shamah An-Nawawi dilahirkan pada tahun 631hj dan wafat pada tahun 676 hj. Seorang ulama mujtahid mazhab As-Shafie beliau berkata :
Adalah sebaik-baik bid'ah di zaman kita ini ialah yang kita lakukan pada tiap-tiap tahun yang bertetapan dengan hari kelahiran Rasulullah s.a.w dari bersedeqah, berbuat baik, menzahirkan keindahan dan bergembira. Kerana dengan demikian ada kebaktian kepada orang-orang faqir dan dengan demikian dapat dirasakan kecintaan kepada Rasulullah dan keagungannya dijiwa-jiwa mereka yang mengamalkannya. Juga sebagai tanda syukur kepada Allah kerana telah mengutus nabinya pembawa rahmat bagi sekalian alam.

6- Al-Imam Abu Muhamad Abdullah Al-Yafi'e , seorang faqih bermazhab Shafi'e wafat pada tahun 768hj. Beliau berkata :
Barangsiapa mengumpulkan saudara-saudaranya untuk menghadiri majlis maulid nabi s.a.w dan menyiapkan makanan dan memenuhkan ruang-ruang kosong dan berbuat baik dan dia menjadi sebab untuk bacaan maulid nabi s.a.w. Dibangkitkan Allah s.w.t pada hari qiyamat bersama-sama orang-orang yang benar, para syuhada' dan para solihin dan dia akan di tempatkan di Janatun Naim.
7-Sheikul Islam Ibnu Taimiah , beliau wafat pada tahun 652hj. Telah berkata :
Kadangkala segolongan manusia mendapat pahala ketika menyambut maulid. Begitu juga apa-apa yang dilakukan oleh setengah orang sama ada tujuan menyambutnya adalah menyerupai orang-orang Nasrani ketika mereka menyambut hari jadi Nabi Isa a.s. ( dengan cara yang tidak diredhai ) atau kerana kasihkan Nabi Muhamad s.a.w dan memuliakan baginda, maka Allah mungkin memberi pahala kerana kecintaan ini dan kesungguhannya, tidak kerana bid'ahnya amalan ini.


7- Beberapa kitab Maulid hasil karangan Para Ulama.
Kitab-kitab mengenai kisah Maulid Nabi s.a.w terlalu banyak sekali, ada yang berupa syair, ada yang berupa prosa, ada yang pendek, ada yang sederhana dan ada yang panjang. Tetapi menerangkan satu persatu itu bukanlah tujuan kami disinioleh itu cukuplah hanya menyebut nama-nama para ulama besar yang telah mengarang kitab-kitab maulid yang masyur saja.
Diantaranya ialah :
1- Al-Hafiz Muhammad bin Abu Bakar bin Abdullah Al-Qaisi Ad-Dimasyqi,di kenali sebagai Ibnu Nasiruddin , dilahirkan pada tahun 777hj dan wafat pada tahun 842hj seorang Imam yang alim, hafiz,ahli tarikh dan ahli Hadith . Berjawat sebagai seorang guru di Darul Hadis Al-Asyrafiah.Di antara karangan-karangannya yang banyakitu adalah sebuah kitab Maulid bernama Maurid as-Saadiy fi al-Maulid al-Hadiy.
2- Al-Hafiz Abdurrahim bin Husein bin Abdurrahman Al-Masri, yang lebih terkenal dengan nama Al-Hafiz Al-Iraqi, beliau lahir pada tahun 725hj dan wafat pada 808 hj. Beliau mempunyai ilmu yang mendalam mengenai Hadith, isnadnya dan hafalannyayang teliti. Beliau menjadi tempat rujukan pada masalah agama di negeri Mesir. Di antara karangannya yang banyak menyentuh tentang pelajaran Hadith ialah kitab Maulid Nabi s.a.w bernama : al-Maurid al-Haniy fi al-Maulid as-Sunniy
3- Al-Hafiz Muhammad bin Abdurrahman bin Muhammad Al-Qahiri lebih terkenal dengan namaAl-Hafiz As-Sakhawi. Beliau dilahirkan pada 831hj dan wafat pada 902hj di kota Madinah. Beliau adalah seorang ahli tarikh dan ulama yang termashur. Telah berkata Ibnu Fahd bahawa beliau mempunyai kelebihan dalam mengenal nama-nama perawi Hadith, keadaanya dan segala yang bersangkutan dengannya sehingga tidak ada seorang pun dari ulama yang setanding dengan As-Sakhawi dalam bidangnya sesudah Imam Az-Zahabi. Tertulis di dalam kitab Kasfuz Zunun bahawa Imam As-Sakhawi ini ada mengarang sebuah kitab Maulid.

4- Imam Mulla Ali sebagai seorang diantara ulama'mujtahid yang termasyur dan ahli tarikh telah mengarang sebuah kitab maulid bernama : al-Maurid ar-Rawiy fi al-Maulid an-Nabawy
5- Al-Hafiz Al-Imam Imadudin Ismail bin Umar bin Kathir, lebih terkenal dengan nama Ibnu Kathir empunyai kitab tafsir . Beliau berguru kepada Ibnu Taimiyah dan sangat mengasihinya , beliau wafat pada tahun 774hj. Ibnu Kahtir ini telah mengarang sebuah kitab maulid yang kemudiannya dicetak dengan suntingan Dr Salahuddin Al-Munjid.
6- Sheikh Abu Ja'far Barzanji seorang ulama yang terkenaldi kota Madinah beliau meninggalkan sebuah kitab maulid yang dikenali sebagai Kitab Maulid Barzanji.
7- Al-Hafiz Wajihuddin Abdurahman bin Ali bin Muhammad As-Syaibani,berasal dari negeri Yaman dilahirkan pada tahun 866hj dan wafat pada 944hj . Beliau adalah seorang ulama yang besar pada zamannya. Kepadanya sahajalah jatuhnya segala salasilah sanad guru-guru Hadith menyebabkan beliau digelar Masnad -ad-Duniya fi 'ilmil hadith.Di antara kelebihannya dalam ilmu Hadith ini beliau dapat menghuraikan Sohih Bukhari dalam masa enam hari. Diantara karangannya yang banyak itu ialah sebuah kitab maulid bernama Al-Maulid as-Sahrif kemudian lebih terkenal dengan Maulid Ad-Dibai.

Sekian sahaja diantara para ulama yang besar yang dapat kami nukilkan disini buat pengetahuan mereka yang belum ketahuinya. Moga-moga kita sentiasa memikir dahulu sebelum mengorak langkah.

No comments:

Chat Box