Wednesday, January 28, 2009

Bencana Kerana Perbuatan Sendiri

Kebelakangan ini, kita sering mendengar pelbagai berita mengenai tragedi yang berlaku di seluruh dunia. Ini termasuklah pembunuhan yang berpunca daripada perasaan tamak serta dengki khianat sesama manusia itu sendiri.
Selain daripada itu, bencana alam seperti banjir, taufan, gempa bumi, kemarau, letupan gunung berapi, peperangan serta banyak lagi tragedi lain semakin kerap melanda sebahagian besar muka bumi yang kita diami.
Kesan daripada bencana itu, berlakulah kehilangan ribuan nyawa manusia, ternakan dan juga kerugian harta benda yang tidak ternilai. Dalam pada itu, ada juga tempat-tempat yang jarang atau tidak pernah kita dengar berlaku gempa bumi, kini dilaporkan mengalami kejadian itu.
Begitu juga dengan peperangan, hampir setiap hari beribu-ribu manusia terkorban kerana bencana buatan manusia sendiri. Daripada peristiwa itu, dapat kita melihat bagaimana manusia dan alam kini semakin kalut dengan pelbagai kemelut. Bagaimanapun, qada’ dan qadar Allah ternyata berlaku terhadap manusia berasaskan perbuatan mereka sendiri.
Apabila datang bencana, ia adalah balasan yang setimpal daripada Allah kepada segelintir hamba-Nya yang tidak pernah mahu menginsafi perbuatan masing-masing dengan meneruskan penderhakaan terhadap Allah.
Kalau direnung secara mendalam, kita akan dapati bahawa segala malapetaka yang berlaku sekarang membuktikan keagungan Allah terhadap hamba-Nya.
Kemarau dan banjir umpamanya menakutkan manusia di serata dunia. Ini kerana ia boleh berlaku di mana saja tanpa mengira keadaan iklim atau fizikal sesuatu tempat itu lagi hingga ia kadangkala turut mengelirukan pihak yang terbabit untuk membuat kajian saintifik mengenai bencana tersebut.
Dalam hubungan itu, masing-masing lupa bahawa bencana itu adalah ketetapan Allah lantaran kedurjanaan yang dilakukan oleh kelompok manusia tertentu. Kini, maksiat berlaku di merata tempat dan manusia kian gila dengan kehidupan sosial tanpa batasan.
Kalau dikaji secara mendalam, bencana seperti kemarau yang begitu teruk sebenarnya adalah bala Allah terhadap manusia yang enggan mensyukuri nikmat Allah.
Rezeki dan kurniaan Allah terhadap mereka banyak dilaburkan ke jalan maksiat dan sia-sia. Apabila diuji oleh Allah dengan kepapaan dan kemiskinan, mereka begitu mudah berputus asa dan mula menderhakai Allah dengan melakukan alternatif yang tidak direstui Islam.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu.”
(Surah As-Syura: ayat 30)
Sebagai umat Islam yang meyakini keesaan dan keadilan Allah, maka adalah perlu bagi kita semua untuk merenungi dan meneliti setiap kejadian ngeri, termasuk pelbagai musibah yang berlaku dengan penuh keinsafan.
Insaf kerana segala apa yang berlaku adalah kekuasaan Allah dan insaf untuk beringat-ingat bahawa bencana yang terjadi akan menimpa sesiapa jua nanti, andainya mereka melakukan penderhakaan terhadap Allah.
Dalam hal ini, setiap kita perlu merenung ke dalam diri kita dengan serius, mengkaji setiap tingkah laku dan tindakan yang kita ambil sekian lama, apakah semuanya menepati kehendak masyarakat keseluruhannya atau menyeleweng daripada landasan kebenaran dan keredaan Allah.
Apabila Allah sendiri berjanji seperti di dalam firman-Nya itu, maka tidak mustahil setiap bencana yang berlaku adalah balasan di atas sikap dan perlakuan manusia itu sendiri.
Dalam pada itu, jika ada kesederhanaan dalam malapetaka yang menimpa seseorang atau sesuatu umat, maka ia barangkali menjadi satu ingatan dan pesanan daripada Allah agar mereka yang terbabit segera insaf dan kembali kepada kebenaran.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Wahai kaum-Ku, mintalah ampun kepada Tuhanmu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya agar diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruan-Ku dengan terus melakukan dosa.”
(Surah Hud: ayat 52)
Keengganan menunaikan beberapa tuntutan Islam seperti mengeluarkan zakat juga mempunyai hubungan dengan bencana, antaranya kemungkinan berlaku kemarau panjang seperti sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Tidak menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta mereka melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan, kalaulah tidak kerana binatang (di muka bumi) nescaya langit pasti tidak akan menurunkan hujan selama-lamanya.”

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:


“Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana iaitu:
1. Apabila harta yang dirampas (daripada peperangan) diagih-agihkan kepada orang-orang yang tertentu sahaja.
2. Apabila zakat dikeluarkan kerana penebus kesalahan (terpaksa).
3. Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
4. Apabila suami terlalu mentaati isteri.
5. Apabila anak-anak menderhakai ibu bapa masing-masing.
6. Apabila seseorang lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
7. Apabila kedengaran banyak bunyi bising.
8. Apabila lebih ramai berbicara mengenai hak keduniaan di dalam masjid.
9. Apabila sesuatu kaum itu terdiri daripada orang yang dihina oleh mereka.
10. Apabila memuliakan seseorang kerana takutkan tindakan buruknya.
11. Apabila arak menjadi minuman biasa.
12. Apabila lelaki memakai sutera.
13. Apabila perempuan dijemput menghiburkan lelaki.
14. Apabila wanita memainkan alat-alat muzik.
15. Apabila orang yang terkemudian menghina orang terdahulu, maka pada saat itu tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin merah (puting beliung) atau gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman yang tidak menjadi.
Seandainya kita sama-sama merenungi hadis di atas, tidak dapat tidak kita akan menerima hakikat bahawa bencana yang menimpa sesuatu kaum itu adalah berpunca daripada perbuatan mereka sendiri.
Oleh itu, sama-samalah kita kembali kepada tatacara hidup seperti yang dituntut oleh Islam, semoga kehidupan kita akan dirahmati keamanan dari dunia hingga ke akhirat.

CINTA DAN MENCINTAI KERANA ALLAH


(1. 1 ) Kedudukan Dua Orang Yang Cinta Mencintai Kerana Allah

Sesungguhnya terdapat banyak hadith Rasulullah SAW yang menerangkan kedudukan dan darjat dua manusia yang saling cinta mencintai kerana Allah. Hadis-hadis ini menggambarkan kedudukan mereka yang mulia dan tinggi yang telah disediakan oleh Allah di dalam SyurgaNya.

Di antara hadis-hadis itu ialah yang menceritakan kisah tujuh golongan lelaki yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungannya ketika mana tidak ada lagi naungan yang lain kecuali naungan Allah sahaja.

Hadis yang bemaksud:

"Mereka itu ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang membesar di dalam beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya terikat kepada masjid-masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita jelita dan cantik rupawan lalu ia berkata "aku ini takut kepada Allah", seorang lelaki yang bersedekah melalui tangan kanannya lalu
disembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengatahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, dan seorang lelaki yang berzikir kerana Allah (yang mengingati Allah) bersunyi (keseorangan) lalu mengalir air matanya"

( muttafaqun alaihi)

Ini adalah dalil dan nas yang jelas menggolongkan dia sebagai orang yang berkasih sayang kerana Allah di kalangan tujuh orang yang baik lagi terpilih untuk dinaungi dibawah naungan-Nya. Inilah penghormatan dan kemuliaan paling tinggi yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Di manakah lagi kita akan dapati kemuliaan yang seperti itu ???

Sesungguhnya kemulian ialah hak bagi kedua-dua orang yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T. Dimana pada hari tersebut (kiamat) Allah Taala Rabbul Izzah menyeru mereka dan mempersilakan mereka untuk menerima anugerah yang paling tinggi, iaitu pada hari berhimpunnya sekelian bani (anak) Adam di Padang Mahsyar yang maha luas itu.

Diriwiayatkan oleh Muslim didalam hadis Qudsi yang bermaksud:

Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali nuangan-Ku"

Alangkah tingginya kemuliaan mereka. Alangkah sempurnannya ganjaran yang akan mereka dapati kerana mereka berkasih sayang kerana Allah.

Sesungguhnya cinta kerana Allah bukan kerana sesuatu yang lain sahaja yang ada dalam hidup ini. Hidup ini adalah hidup yang penuh dengan pelbagai kepentingan diri dan pelbagai perkara yang disukai oleh hawa nafsu. Jadi, cinta kerana Allah dalam suasana yang demikian sangat payah untuk dicapai dan dicari. Tiada siapa yang mampu mencapainya kecuali orang yang telah bersih jiwanya, tinggi semangatnya dan mereka mampu melihat betapa hinanya dunia ini berbanding keredhaan Allah. Tidak hairanlah kalau Allah telah menyediakan bagi mereka darjat yang tinggi sesuai dengan ketinggian mereka didunia dalam mengatasi segala kesibukan dunia yang serba mewah dan penuh dengan perhiasan ini.

Kita dapati keterangan demikian dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muaz dari Rasulullah S.A.W baginda bersabda:

"Allah Azzawajalla berfirman: orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku, mereka
mempunyai beberapa-beberapa mimbar dari cahaya, para nabi dan shuhada yang menyukai mereka."

riwayat Attarmizi

Marilah sama-kita renung seketika hadis-hadis Abu Hurairah (R.A)

maksudnya: " Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya (sahabat) di
sebuah kampung yang lain, lalu Allah menyuruh malaikat memerhatikannya di atas jalannya. Maka tatkala dia sampai dia berkata : Engkau hendak ke mana ? Lelaki tersebut menjawab: Aku hendak menemui seorang saudara ku di kampung itu. Malaikat bertanya lagi " Adakah engkau telah berbudi kepadanya dan engkau mengharapkan balasannya?" Beliau menjawab " tidak, aku mencintainya kerana Allah" Maka malaikat itu brekata kepadanya "Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau, sesungguhnya Allah telah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai dia kerana Allah.

Alangkah besarnya cinta yang sedemikian yang mengangkat manusia sampai ke darjat di mana Allah mencintai dan meredhainya.

(1.2) Kesan Cinta Kepada Allah Di Dalam Kehidupan Orang Islam

Didalam hadis yang lain Rasulullah SAW menegaskan bahawa sesungguhnya Mahabbah (berkasih sayang) antara orang beriman adalah syarat-syarat iman yang memasukkan penganutnya kedalam syurga.

((Demi yang diriku di dalam genggamannya , kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu
beriman, dan kamu tidak beriman sehungga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu aku (nabi)
tunjukkan sesuatu yang apabila kamu melakukannya maka akan lahirlah kasih sayang? Sebarkan salam di antara kamu))

Riwayat Muslim dari Abu Hurairah

Sesungguhnya Rasulullah telah mengetahui dengan pandangan tarbiah yang diperolehi dari Allah, bahawasanya tidak ada sesuatu pun yang dapat mencabut hasad dengki dari dada, dan kekotoran jiwa kecuali persahabatan yang sejati. Satu nilai persahabatan yang tinggi yang menguasai kehidupan orang Islam yang dibangunkan atas dasar Mahabbah, nasihat menasihati, perpaduan, bebas dari segala tipu daya, hasad dengki, benci membenci dan sebagainya.

Dengan kasih sayang yang gemilang inilah, Rasulullah telah membangunkan generasi Islam yang
pertama, satu generasi yang telah menyampaikan langit kebumi (rahmat yang melimpah ruah) dan membina mahligai Islam di alam sejagat.

Inilah dia kasih sayang dan perpaduan yang tiada siapa sudi menanamnya didalam hati kecuali Islam. Kasih sayang yang suci lagi kukuh dan cinta yang setia di antara mereka jualah yang akan
menjayakan perjuangan mereka.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

(( Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam.

Riwayat Muslim

Sesunguhnya orang Islam yang menghayati ajaran agamanya akan mempunyai hati dan perasaan yang sentiasa berkobar-kobar untuk mencintai saudara dan sahabatnya. Dia akan menghadapi mereka dengan sepenuh hati dan perasaannya. Inilah asas-asas yang menjadi faktor perpaduan untuk mencapai cinta dan redha Allah di Akhirat kelak.

CARA BERI TUMPUAN DALAM KELAS


Kegagalan memberikan tumpuan dalam kelas menyebabkan ramai pelajar gagal meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan. Berikut adalah petua yang boleh digunakan untuk meningkatkan tumpuan anda:



  1. Semak seimbas nota yang telah diberikan oleh guru terdahulu sebelum memulakan kelas. Sekiranya ada bahagian yang anda tidak faham atau keliru maka tanyakan pada guru sebelum bermulanya kelas tersebut. Jangan biarkan ketidakfahaman atau kekeliruan itu mengganggu anda. Guru mungkin akan mengajar lebih mendalam hari ini dan sekiranya anda tidak merungkai kekeliruan itu anda akan terus ketinggalan dalam mengikuti apa yang diajar.

  2. Baca juga bahan yang bakal diajarkan oleh guru nanti. Walau pun anda tidak memahami keseluruhan apa yang dibaca sekurang-kurangnya anda tahu apa yang akan diajar oleh guru kelak. Secara tidak langsung tumpuan dan minat anda meningkat.

  3. Cuba duduk di barisan depan dalam kelas. Sekiranya anda duduk di tepi tingkap, tutup tingkap ketika guru mengajar.

  4. Jangan alih mata anda dari melihat guru dan lihat apa yang ditulis di papan hitam/putih.

  5. Tunjukkan minat yang mendalam. Perbetulkan kedudukan anda dan ceriakan wajah anda. Ingat apa yang diajar itu jauh lebih penting daripada siapa yang mengajar.

  6. Yakinkan diri anda betapa pentingnya tumpuan dalam kelas. Ingat!! Ia menyumbang 50% dari keseluruhan markah peperiksaan kelak.

  7. Pasang telinga. Dengar dan fahami setiap patah perkataan yang disampaikan.

  8. Terjemahkan apa yang disampaikan oleh guru ke dalam bentuk gambaran minda.

  9. Catat setiap fakta penting atau fakta yang anda sangka penting, sama ada fakta-fakta yang ditulis atau yang diucapkan oleh guru.

  10. Catat setiap perkara yang anda tidak faham. Catatkan juga setiap soalan yang terbit dalam fikiran anda. Gunakan tujuh perkataan berikut untuk membina soalan Apa? Siapa? Bila? Berapa? Dimana? Kenapa? Bagaimana? Gunakan buku khas untuk tujuan catatan ini, atau gunakan kaedah mengambil nota berkesan.

  11. Sekiranya berpeluang segera angkat tangan dan tanya guru. Tanya untuk dapatkan lebih huraian; tanya untuk memastikan kefahaman anda betul; atau tanya kerana ada soalan-soalan yang lebih spesifik. Antara tanda-tanda yang anda telah memberikan tumpuan ialah anda TAHU apa yang anda TIDAK TAHU.

  12. Jangan hiraukan sebarang gangguan dari rakan-rakan. Jangan bertindak balas terhadap usikan dan gurauan mereka ketika kelas berjalan.

  13. Kajian menunjukkan bahawa anda lupa 80% dari apa yang telah dipelajari dalam masa 24 jam. Oleh itu segera menyemak apa yang telah diajar serta merta apabila guru keluar dari kelas

Chat Box