Friday, May 29, 2009

iLmu Vs Harta

Saidina Ali bin Abi Talib karramallahu wajhah pernah menyatakan bahawa orang yang berilmu lebih baik
daripada orang yang berharta.

Pada satu ketika 10 orang ulamak Khawarij telah menguji pengetahuannya. Mereka masing-masing
mengemukakan pertanyaan yang serupa, dan diminta memberi jawapan yang berlaina tetapi mencakupi
ruang lingkup yang sama. Pertanyaan itu ialah:

Manakah lebih baik, ilmu atau harta? Saidina Ali dengan cepat menjawab:

Ilmu lebih baik dari harta sebab ilmu adalah pusaka para Nabi dan Rasul, sedangkan
harta pusaka daripada Firaun, Qarun dan lain-lain.

Ilmu lebih baik daripada harta sebab ilmu dapat menjaga dan memelihara pemiliknya,
sedangkan harta mesti dipelihara oleh pemiliknya sendiri.

Ilmu lebih baik daripada harta sebab ilmu membentuk banyak sahabat dan kawan
sedangkan harta memperbanyakkan musuh dan lawan.

Ilmu lebih baik daripada harta sebab ilmu apabila dikeluarkan semakin bertambah
sedangkan harta apabila dikeluarkan semakin berkurangan dan akhirnya habis.

Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang-orang yang berilmu selalu mendapat
panggilan mulia dan hormat daripada masyarakat. Sedangkan orang yang berharta
seringkali mendapat panggilan yang rendah.

Ilmu lebih utama dari harta sebab ilmu tidak boleh dicuri daripada pemilik nya tetapi
harta dapat dicuri, hilang dan sebagainya.

Ilmu lebih baik dari harta kerana orang-orang yang berilmu pada hari qiamat akan
mendapat pertolongan daripada ilmu yang dikembangkan, sedangkan orang yang
berharta akan dihisab dan diminta bertanggungjawab terhadap pemakaian harta
tersebut.

Ilmu lebih baik dari harta kerana ilmu tidak boleh habis walaupun tidak ditambah,
sedangkan harta lambat laun akan habis.

BERKAT REZEKI KERANA SEDEKAH

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya
keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak
dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan
susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi
tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di
lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah
berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih
kaya?' Nabi Ayub mejawab 'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna
kekayaan tanpa keberkatanMu'. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya
keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.

1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.

2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.

3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal

4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan
sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.

5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari
anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa
kita sedari.

6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan
mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa
diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu
selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan
anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak
mereka.

7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib
(zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.

8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam
ayat Quran Ali Imran ayat 92

9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat
- bukan dunia untuk dunia)

10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui
jualbeli (perniagaan). Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki
ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja
(10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah
seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang
amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak.
Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang
Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada
menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.

11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.

Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit
matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu
menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang
membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru
'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)'

Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan
akhiratnya. Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya
menahannya adalah celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah
api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi
Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan
digalakkan memberi sedekah pada awal pagi.

Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang
dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan
membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu
yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta -
belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang
kita tidak ketahui. Wallahu a'lam...

Wednesday, May 6, 2009

HUKUM MEWARNAKAN RAMBUT

Mewarnakan rambut merupakan suatu trend remaja moden pada hari ini. Remaja-remaja ini berbangga apabila dilihat berbeza dengan rakan-rakan yang lain. Masing-masing bergaya dengan rambut berwarna-warni yang kadang kala menimbulkan rasa kurang senang pada mereka yang melihatnya. Bagaimanapun, yang menjadi persoalannya, apakah hukum mewarnakan rambut. Halal atau haram...
Mewarnakan rambut dr segi hukum syarak terbagi kepada :

1.Harus mewarnakan rambut dengan warna selain hitam.Warna hitam hannya harus bagi yang berpenyakit sahaja.
2.Makruh mewarnakan rambut bagi orang muda.
3.Haram mewarnakan rambut bagi orang yang terlalu tua.
4.Haram mewarnakan rambut tanpa tujuan.
5.Harus mewarnakan rambut dengan izin Suami.

Dari segi ingredient pewarna rambut yg ada dipasaran terbahagi kepada 2 jenis yang mana kedua-duanya dalah halal dari segi bahan kandungan. Yang menjadi persolan adakah pewarna tersebut menyerap air atau tidak ??

Pewarna rambut yang dipasaran biasanya akan tertulis pada kotak PERMANENT DYE atau SEMI PERMANENT DYE. Mengikut kajian jenis yang Semi-Pamenent Dye adalah jenis yang tidak menyerap air dan ianya tidak boleh dipakai oleh orang islam. Begitu juga sebaliknya. Apabila pewarna ini dipakai, umat Islam tidak dapat bersuci dengan sempurna kerana rambut adalah sebahagian daripada kepala. Mandi hadas besar dan wudhu' menjadi tidak sah apabila air tidak dapat mengenai kulit kerana terhalang dengan pewarna rambut yang dipakai. Justeru ia perlu dielakkan oleh setiap umat Islam.

JAKIM sendiri tidak pernah mengeluarkan sijil halal untuk produk pewarna rambut kerana ianya di kilangkan di luar negara. Utk pengetahuan, JAKIM hanya akan keluarkan sijil halal utk produk yang diproses di malaysia sahaja.
Kesimpulannya, bersyukurlah dengan kejadian ciptaan ALLAH yang diberikan kepada kita. Sebarang perubahan yang dibuat tanpa sesuatu sebab yang tidak dibenarkan oleh syara' hanya menjadikan kita seolah-olah tidak bersyukur dengan kurniaan Allah terdap kita.

Anda suka mendengar muzik

Mendengar lagu merupakan kebiasaan dan kegemaran ramai. Surirumah mendengar muzik ketika memasak, pekerja mendengar muzik di pejabat, pelajar mendengar ketika mengulangkaji pelajaran. Hari ini, pelbagai genre muzik diperkenalkan untuk menarik minat pendengar. Seringkali saya ditanya oleh pelajar-pelajar dan masyarakat setempat mengenai hukum mendengar lagu. Apakah jenis lagu yang boleh didengar, apakah lagu yang haram didengar. Di sini saya akan bawakan sebuah artikel berkenaan perkara tersebut. Semoga kita dapat mengambil manfaat daripadanya.

Nyanyian Dan Muzik

Muzik ditakrifkan sebagai bunyi yang mengalunkan irama yang sangat merdu dan sedap didengar malah menyenangkan.

Setelah kedatangan islam, seni muzik yang mempunyai perkaitan dengan perkara yang melanggar syariat islam akan diharamkan. Menurut Imam Ghazali, Muzik yang melalaikan pendengar daripada tanggungjawab agama adalah diharamkan.
Nyanyian merupakan ungkapan kata-kata, sekiranya ia dipenuhi dengan unsur kebaikan, ia adalah baik tetapi sekiranya dipenuhi dengan unsur kekejian, ia adalah keji. Kata-kata yang mengandungi unsur-unsur haram seperti menghina Islam, lucah, mengkhayal atau mengghairahkan, maka haramlah ia.
Walaupun jelas kepada kita bahawa hukum nyanyian adalah harus tetapi terdapat beberapa syarat yang perlu di jaga :
1. Kandungan nyanyian itu hendaklah selari dengan akhlak yang ditunjukkan oleh ajaran islam. Oleh itu, lirik-lirik yang menyalahi ajaran islam tidak di haruskan.
2. Cara penyampaian juga perlu di beri perhatian. Ini kerana ada ketikanya kandungan atau isi sebuah lagu tidak terdapat lansung unsur-unsur keji dan salah tetapi cara penyanyi menyampaikan lagu adalah salah.
3. Hendaklah dipastikan nyanyian itu tidak disertai debgan perkara haram seperti meminum arak, berhias secara melampau atau berlakunya pencampuran lelaki dengan perempuan tanpa ada sebarang batasan.
4. Hendaklah tidak keterlaluan dalam berhibur dengannya. Ini kerana nyanyian merupakan antara perkara yang diharuskan kerana melibatkan perasaan manusia dan kasih sayang.
Perkara Yang Menyebabkan Nyanyian Di Haramkan

1. Sekiranya pendengar adalah seorang lelaki, manakala penyanyi adalah seorang wanita yang bukan muhrimnya dan di takuti akan menimbulkan fitnah.
2. Sekiranya alat yang di gunakan merupakan syiar kumpulan peminum arak atau golongan pondan seperti seruling, alat muzik yang bertali dan tabla yang berkubah. Inilah tiga jenis alat muzik yang di tegah.
3. Sekiranya terdapat perkataan yang keji, menghina, pendustaan ke atas ALLAH, rasulnya atau menghina para sahabat sama ada menggunakan alat muzik atau tidak, maka ia adalah keharaman.
4. Sekiranya pendengar merupakan seorang yang tidak dapat mengawal nafsu syahwatnya dan mungkin terjadi apabila seorang yang peringkat remaja bahawa mereka tidak boleh membayangkan sesuatu perkara yang boleh membangkit nafsunya.


Beberapa Syarat Yang Perlu Di Jaga

Walaupun jelas kepada kita bahawa hukum nyanyian adalah harus tetapi terdapat beberapa syarat yang perlu di jaga :
Kandungan nyanyian itu hendaklah selari dengan akhlak yang ditunjukkan oleh ajaran islam. Oleh itu, lirik-lirik yang menyalahi ajaran islam tidak di haruskan.
Cara penyampaian juga perlu di beri perhatian. Ini kerana ada ketikanya kandungan atau isi sebuah lagu tidak terdapat lansung unsur-unsur keji dan salah tetapi cara penyanyi menyampaikan lagu adalah salah.
Hendaklah dipastikan nyanyian itu tidak disertai debgan perkara haram seperti meminum arak, berhias secara melampau atau berlakunya pencampuran lelaki dengan perempuan tanpa ada sebarang batasan.
Hendaklah tidak keterlaluan dalam berhibur dengannya. Ini kerana nyanyian merupakan antara perkara yang diharuskan kerana melibatkan perasaan manusia dan kasih sayang.


Perkara Yang Menyebabkan Nyanyian Di Haramkan

Sekiranya pendengar adalah seorang lelaki, manakala penyanyi adalah seorang wanita yang bukan muhrimnya dan di takuti akan menimbulkan fitnah.
Sekiranya alat yang di gunakan merupakan syiar kumpulan peminum arak atau golongan pondan seperti seruling, alat muzik yang bertali dan tabla yang berkubah. Inilah tiga jenis alat muzik yang di tegah.
Sekiranya terdapat perkataan yang keji, menghina, pendustaan ke atas ALLAH, rasulnya atau menghina para sahabat sama ada menggunakan alat muzik atau tidak, maka ia adalah keharaman. Di zaman ini, lagu-lagu berirama black metal, thrash, hip hop dari barat biasanya mengandungi lirik2 menghina Islam atau lucah.
Sekiranya pendengar merupakan seorang yang tidak dapat mengawal nafsu syahwatnya dan mungkin terjadi apabila seorang yang peringkat remaja bahawa mereka tidak boleh membayangkan sesuatu perkara yang boleh membangkit nafsunya.
RUJUKAN
Mahayudin Hj Yahaya, Tamadun Islam, Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lumpur.1999. halaman 194-195
Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Seni Dalam Islam, Jabatan Kemajuan Islam, Malaysia, Kuala Lumpur.1999 halaman 19
Mahmood Zuhdi Abd Majid, Tokoh-Tokoh Kesarjanaan Sains Islam, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.2000 halaman 100 Osman Bakar dan Azizah Hamzah, Sains, Teknologi, Kesenian Dan Agama, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 1992 halaman 242-243

BEBERAPA PERSOALAN

GAMBAR DALAM RUMAH

Soalan :
Saya ingin mendapat penjelasan mengenai hukum menggantung gambar penuh seluruh badan di dinding rumah..

Jawapan :
Ia termasuk hukum baru yg tiada contoh sebelumnya. Berdasarkan kaedah yg masyhur, " asal setiap sesuatu adalah mubah, kecuali ada nas yg menegahnya." Mufti Mesir, Syaikh alBakhit mengharuskan fotografi kerana manusia tidak mencipta gambar itu melainkan ia hasilan teknologi. Mufti Saudi (syaikh Ben Baz) memilih mengharamkannya kecuali untuk tujuan yg dharurat spt pasport dan IC sahaja. Qardhawi memilih pendapat Syaikh Bakhit (halal dan haram) Allah sahaja yg lebih mengetahui.


JAMAAH & MAZHAB

Soalan :
Dalam Islam yang ditinggalkan Nabi SAW terdapat 73 firqah menurut sebuah hadis sahih. Dan dikalangan itu hanya satu firqah yang akan masuk syurga ! Dan firqah tersebut disebut sebagai "al-jamaah". Apakah yang dimaksudkan "al-jamaah" itu ?
Mengapa kita bergantung ( wajib/harus/sunat ) mengikut pendapat2 imam 4 (Hanafi/Maliki/Hanbali/Syafi'e )? Apakah alasan muslimin hari ini yang mengatakan kita mengikut pendapat imam mukatabar seperti imam 4 ini kerana amalan mereka mirip kepada para aulia ? Sedangkan ada pendapat mereka yang bid'ah seperti "Usalli..".

Jawapan :
1. Hadis firqah itu ialah hadis sahih, terdapat dalam Sunan Ibn Majah, Musnad Imam Ahmad dan Abu Daud, Aun alMa'abud. Disahihkan oleh Albani (sahih al jami' as Sagheer 1/357)
Maksud al jama'ah itu salaf as Soleh (generasi pertama Islam), dan orang yg mengikuti mereka hinga Kiamat. Dengan kata lain ialah ASWJ (ahli sunnah wal jama'ah tulin) (Imam Ibn Qayyim, Ighatsah alLahafan 1/70)
2. Asas kita berpegang kepada madzhab empat ialah kerana madzhab ini paling lengkap dan paling baik dalam kaedah mengeluarkan hukum dari sumbernya asal, sedangkan madzhab2 lain telah pun pupus atau tidak popular.

3. Pengasas empat madzhab ini sememangnya auliya', genius, mujtahid mutlak, zuhud, abid, dll lagi. Tetapi kita berpegang kepada mereka hendaklah menyelidiki dalil dan hujah mereka, dan boleh berpindah madzhab jika ada madzhab yg lebih meyakinkan.
4. Usyalli adalah isu ulama' mutakhirin dalam fuqaha' Hanbali dan Syafi'iy; ia tiada kaitan dgn pengasas madzhab 4 dan ia bukanlah bid'ah yg merosakkan Islam. (Dr Abd Karim Zaidan, alWajiz)


DEPOSIT PILIHANRAYA

Soalan :
Apakah hukum wang pertaruhan atau deposit pilihan raya? Adakah ia menyerupai judi?

Jawapan :
Telah berkata Ibn Qayyim alJauzea (I'lam alMuwaqqieen)," Tidak menjadi wajib jika lemah dan tidak haram jika dharurat". Maksudnya pilihanraya itu sesuatu yg dharurat bagi umat Islam menyertainya untuk mendirikan negara Islam, maka deposit pilihanraya itu hendaklah diketepikan demi mencapai sesuatu yg besar yg bermanfa'at utk umat Islam. Untuk lebih jelas: janganlah kerana was-was dgn hukum deposit calon, maka umat Islam memulaukan pilihanraya. Allahu a'alam


BAHAN PENCUCI

Soalan :
Assalamualaikum,
Saya seorang pelajar di luar negara. Baru-baru ni saya terbaca bahawa bahan2 pencuci seperti sabun, detergen, etc. mungkin diperbuat (derive) daripada binatang (eg. lembu, khinzir, etc.).
Soalan saya, adakah barang2 seperti ini boleh digunakan oleh seorang Muslim? Setahu saya, ada pendapat yang mengatakan bahawa ia boleh kerana bahan yang digunakan sudah bertukar sifat. Adakah hukum ini juga boleh digunakan untuk makanan yang mempunyai 'E' numbers (eg. E471 etc) yang mungkin datangnya dari binatang. Sekian, Wassalam.

Jawapan :
Jika anda berada di negara Barat seperti USA dan Europe, akta perlabelan pada produk amatlah ketat. Pengguna boleh mendapat maklumat mengenai produk pada perlabelan yg wajib dicetak pd produk tersebut bersama tarikh lupus dan batch nombornya, juga disediakan nombor talian fon Toll-Free untuk kita bertanyakan maklumat lebih lanjut.

Di USA, misalnya cop U-Pareve dan Kosher melambangkan ia diperakui oleh Rabbai yahudi dan bebas dari lemak haiwan. Ada produk dari Afrika Selatan, Australia, Europe dan USA yg dicop Halal oleh pusat Islam tempatan. carilah produk yg ada cop halal dan Rabbai itu. Jika kita berada di negara Kristian, syarat halal dan haram dilonggarkan atas kelonggaran syara' terhadap makanan dan wanita ahlil kitab. Pasaran konsumer negara Barat juga amat advance dan dibanjiri dengan pelbagai jenama dan pilihan dan trend hari ini mereka beralih kepada sumber asli seperti herba dan tumbuhan. Maka pilihlah barangan konsumer yg begitu.

Mengenai simbol E ia bermaksud Emulsifier (binding agent) dan biasanya ia dihasilkan dari telur atau kacang soya. Pendapat yg mengatakan boleh menggunakan ingredient yg telah bertukar sifat dari sifat asalnya ialah pendapat Imam Ibn Abidin dari fuqaha Hanafi. Pendapat ini boleh diterima terutama bila kita berdepan dgn dharurat. Allahu a'lam


HAJI DENGAN WANG PINJAMAN

Soalan :
Ustaz, Apakah hukum jika saya mengerjakan haji menggunakan wang pinjaman bank yg melaksanakan perbankan Islam? Terima kasih

Jawapan :
Setakat ini hanya pakej umrah, ziarah dan pelancungan sahaja yg menggunakan konsep 'travel now and pay later', yakni banyak koperasi dan perbankan syari'ah yg menawarkan pakej Umrah dan Ziarah di mana insitusi tsb membiayai umrah&ziarah secara ba'i bithaman 'ajil (bayaran balik secara ansuran).

Mengenai pembiayaan haji secara 'Haji now and pay later' ini belum diputuskan oleh fuqaha' hari ini kerana ia memerlukan suatu qarar (keputusan bersama) kerana ia menyentuh perkembangan semasa dan kemudahan pembiayaan yg tidak ada di zaman silam. Kalau kita mengkaji kitab-kitab feqah yg ditekankan ialah syarthul qabul (syarat-syarat haji yg mabrur) yakni salah satunya kos haji dan perbekalannya mestilah datang dari punca-punca halal, di dalam batas-batas kemampuan dan tidak menyusahkan dirinya dan keluarganya setelah selesai haji nanti. Maka di sinilah lahirnya idea LUTH (lembaga urusan tabung Haji), menabung dulu, bila dan cukup wang,mendaftar, barulah naik Haji. Maka mengerjakan Haji secara kredit atau kemudahan Haji now and pay later seperti pakej umrah, ziarah, tourism, pembiayaan kereta, rumah dan asset yg lain, memerlukan ijtihad fuqaha'

Mantan Syaikhul alAzhar, Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah : Imam alBaihaqi meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Awfa ra bahawa dia melihat seorang bertanyakan akan Nabi saw," bolehkah dia meminjam wang untuk mengerjakan haji?" Nabi bersabda," Jangan."Fatwa Islam online tanggal 11 February 2001,

Harus hukumnya membuat pinjaman (tanpa riba) untuk pembiayaan Haji walaupun ia tidak wajib berbuat demikian dan Hajinya sah. Sebaik-baik pinjaman ialah pinjaman jangkapanjang. Setakat inilah maklumat yg kita dapat dalam loan untuk haji. Pendapat Islam online ini sesuai dengan aliran dlm madzhab Syafi'iy yg meluaskan skop sumber pembiayaan untuk Haji seluas mungkin, asalkan halal (alBujairimi, Hashiah atas Iqna', 2/349.) Allahu a'alam. Allahu a'alam


RAGU - YAKIN

Soalan :
Assalamualaikum,Ustaz, tolong terangkan kaedah "yg ragu2 tak menghilangkan yg yakin"


Jawapan :
Kaedah ini berbunyi "alYaqin yuzaalu bis Syaq" (Yakin tidak boleh disingkirkan dgn semata-mata syak); bermaksud: jika sesuatu itu telah diyakini, tidak akan tersingkir dengan kedatangan perasaan syak ke atasnya. Dalil: Surah Yunus: 36

Contoh: Jika anda yakin masih ada wudhu', maka anda dianggap masih ada wudhu' jika datang rasa syak telah berhadas. Mustafa alZarqa, Madkhal alFiqhi al'am. Sekian


PUASA HARI JUMAAT

Soalan :
Saya kadang 2 berpuasa sunat ikut kesenangan saya dalam sesuatu hari. kadang2 berpuasa hari jumaat. kawan saya melarang keras dari berpuasa pada hari tersebut. boleh terangkan?

Jawapan :
Terdapat beberapa hadis yg melarang kita puasa hari Juma'at sahaja. HR Bukhari dari Abu Hurairah, HR Ahmad dari Ibn Abbas, dll. Madzhab Syafi'iy menetapkan larangan ini sebagai makruh sahaja. (Fathul Alam 4/165)


SAMAK MUSIM SEJUK :

Soalan :
Saya ingin bertanya mengenai samak najis mughallazah (najis berat). Sekiranya tanah yang digunakan untuk samak najis anjing dan babi susah didapati, terutamanya dalam musim sejuk di mana salji meliputi permukaan tanah, apakah yang perlu dilakukan? Adakah benda lain yang boleh digantikan dengan tanah? Sekian...

Jawapan :
Nas-nas membasuh jilatan anjing ini dari dua hadis sahih: HR Bukhari-Muslim dari Abu Hurairah ra; Bulughul Maram/4; dan HR Muslim dan Abu Daud; Umdatul Ahkam 1/26; hadis-hadis itu secara jelas menyebut tujuh dan lapan kali dan sekalinya ada disebut penggunaan tanah.

Perbahasan fuqaha':
Hanafi: bilangan 7 kali basuhan itu sunat dan sunat juga hukumnya menggunakan tanah.
Maliki: membasuh 7 kali itu wajib kerana ta'abud kepada perintah nabi saw tapi tidak wajib dgn tanah
Syafi'iy: Wajib 7 kali basuhan dan wajib dgn tanah pada satu kali basuhannya
Hanbali: Wajib 8 kali basuhan dan wajib pula dgn tanah.
Imam Ibn Taymiyah berpendapat pendapat Imam Hambali lebih rajih (tepat) dan penggunaan tanah adalah juga wajib. Madzhab Syafi'iy dalam salah satu pendapatnya membolehkan penggunaan selain tanah (Prof TM Hasbi Siddiqeiy, Hukum2 Fiqih Islami, jld 1) atas alasan illat (sebab) digunakan tanah itu untuk lebih kesucian dan membasmi kuman, maka jika digunakan sabun atau detergen, illat itu tercapai jua sebagaimana fungsi tanah.

Imam Ibn Taymiyah membolehkan sabun dan sebarang detergen pencuci (sebagai pengganti air dalam urusan taharah), tapi dalam urusan membasuh jilatan anjing, tanah terpaksa digunakan demi ta'abbud kepada perintah Nabi saw (Majmu Fatawa lil Syaikhul Islam, 1/474, cet Riyadh)

Maka jika benar-benar sulit untuk mendapatkan tanah, boleh menggunakan pendapat ashab Syafi'iyah. Tapi dalam keadaan bukan dharurat, pendapat Ahmad atau Syafi'iyah yg asah (lebih sahih) diutamakan oleh pentahqeeq (meggunakan tanah pd satu kali cuciannya). Allahu a'alam


Wednesday, March 4, 2009

SAMBUTAN MAJLIS MAULIDIN NABI S.A.W ADALAH SALAH SATU SYIAR ISLAM YANG GEMILANG.

Alhamdulillah, kami ucapkan syukur kehadrat Allah s.w.t kerana diberikan kurniaanNya dan limpahanNya dengan diberi peluang untuk kami membetulkan setengah-setengah tanggapan mengenai perihal meyambut Maulid Nabi sebagai suatu larangan atau penyelewangan orang-orang Islam zaman sekarang.

Sudah menjadi satu amanah dan tanggung-jawab kami sebagai umat Islam untuk tegur-menegur jika terdapat kesilapan atau kekeliruan antara umat Islam apatah lagi umat Islam senegara. Dan jika kami diamkan perkara ini, takut-takut nanti akan tersebar lebih luas lagi dan kami akan dipersoalkan nanti dihadapan Allah s.w.t kerana tidak menjalankan tugas da'wah atau amar ma'ruf dan nahi munkar.

Marilah kita duduk sebentar membincangkan secara ilmiah mengenai amalan maulid Nabi s.a.w.

1-Masalah Sambutan Maulid adalah masalah Furu'.

Pertama sekali harus kita faham bahawa Rasullullah s.a.w hidup di dunia ini selain dari berjihad untuk menyiarkan Islam dan menanamkan tauhid yang sebenarnya juga sebagai pengajar kepada manusia cara hidup yang benar berlandaskan Al-Quran dan Sunnahnya. Agama Islam telah sempurna sebelum beliau wafat dengan diterangkan perkara-perkara yang dilarang dan perkara yang diperintahkan. Maka perkara-perkara usul ( masalah-masalah yang besar dari hukum-ahkam agama ) telah semuanya dinyatakan hanya masalah-masalah furu' ( masalah-masalah yang kecil dari hukum-ahkam agama ) ditinggalkan bagi para ulama menghukumkannya kerana mereka adalah pewaris-pewaris Nabi, firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 43 :
Maka bertanyalah kepada mereka yang mengetahui ( para Ulama ) jika kamu tidak ketahui.
Allah sendiri dengan jelas menyuruh kita merujuk perkara yang tidak diketahui kepada para Ulama terutama sekali dalam masalah-masalah kecil seperti ini ( furuiyyat ) kerana mereka akan menjawabnya menerusi dalil-dalil usul yang sudah disempurnakan semuanya didalam Al-Quran dan Sunnah Nabi.

Sebagaimana tersebut dalam Hadith yang masyur, mafhumnya : Aku tinggalkan dua perkara ini jika kamu berpegang dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya....Al-Kitab dan As-Sunnah. Ini adalah sebab semua kaedah usuliyyah ( masalah-masalah dasar ) telah dimuatkan didalamnya untuk kemudahan menyelesaikan masalah-masalah yang kecil nanti.

Disini harus kita ambil-kira bahawa pandangan ulama itu ada sahamnya dalam perbentukan syariat kerana mereka tidak akan sekali-kali membuat keputusan yang bercanggah dengan perkara-perkara usul ( hukum dasar ). Mereka selalu berjaya dalam mengaitkan hukum-hukum furu' dengan hukum-hukum asal ( usul ) yang telah dibina dan ditinggalkan oleh Rasullulah s.a.w. sebagai ikutan dan pedoman setiap generasi sepanjang zaman.

Masalah menyambut kelahiran Nabi s.a.w adalah masalah furu' yang tidak perlu kita bertelagah antara kita selagi ianya tidak melanggar 'aslulhukum' ( hukum asal ) dan Maqasid Syariah Islamiah ( Kepentingan/Keperluan Terbesar dalam Syariah Islamiah iaitu pemeliharaan 1-agama 2-aqal 3- harta 4- jiwa 5-keturunan ).

2-Perkara-Perkara Yang Ditinggalkan Nabi Bukanlah Satu Larangan.

Banyak perkara atau perbuatan orang-orang Islam hari ini tidak pernah diamalkan oleh Nabi dan ianya tidak bercanggah dengan hukum asal ( syara' ) samada dari bacaan tahlil, maulid , zikir-zikir, talkin mayat dan sebagainya, kerana tidak terjumpa penjelasan amalan itu dari Al-Quran dan Sunnah tetapi diterima sebagai amalan-amalan yang 'mustahab'( yang digalakkan ).
Kaedah ini diperolehi dan menjadi rujukan dari firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hasyar ayat 7 :
Apa yang didatangkan kepadamu oleh Rasul itu ( Nabi Muhammad s.a.w ) ambillah ianya sebagai pegangan ( sunnah ) dan apa yang ditegahnya daripada melakukannya maka kamu jauhi.

Para Ulama telah mengeluarkan satu kaedah dari ayat ini bahwa perkataan 'didatangkan' dari ayat diatas itu, di lawankan Allah dengan perkataan 'ditegahnya' padahal kata lawan bagi perkataan 'didatangkan' itu adalah 'ditinggalkan.' Ini berarti apa yang 'didatangkan' adalah perkara yang sabit dalam sunnah dan perkara yang ditegah sahaja yang dilarang diamalkan sedangkan perkara yang ditinggalkan bukanlah larangan tetapi jika amalan itu tergolong dan diterima dari sudut syara' ( tidak melanggar hukum dasar ) hukumnya 'Mustahab' ( dibolehkan dan digalakkan ) dan jika ianya jelas melanggar syara' ( melanggar hukum dasar ) ianya adalah Haram.

Disinilah kita perlukan bimbingan para Ulama' sebagai pewaris Nabi kerana mereka telah diamanahkan untuk menentukan hukum bagi perkara-perkara kecil yang ditinggalkan Nabi . Dan ada juga hukum itu tidak ditetapkan oleh para Ulama tetapi dihukum oleh orang-orang Islam itu sendiri, sebagaimana sabda Nabi s.a.w :
Apa-apa yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu yang elok, maka ia adalah elok disisi Allah, dan apa-apa yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu yang keji, maka ia adalah keji disisi Allah .( Hadith ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad dari Ibnu Mas'ud ).

Amalan Menyambut maulid ini sudah dianggap mulia dan baik olek seluruh masyarakat Islam dari seluruh pelusuk Dunia Islam sejak zaman Tabiin hingga ke hari ini. Imam Hasan Al-Basri adalah seorang pengemar membaca Maulid S.A.W sedangkan beliau adalah seorang tabi'in.

3-Menyambut Hari Kebesaran dan Bersempena Dan Menziarahi Tempat-tempat Suci / Sejarah Islam Adalah Sebahagian Dari Syiar Islam.

Agama Islam mengajar kita bahwa mengenang peristiwa sejarah Islam adalah sebahagian dari kesopanan dan pengetahuan sejarah umat Islam itu sendiri sebahagian dari pendidikan. Setengah-setengahnya dijadikan dalam perjalanan syariat dan sebahagiannya dilonggarkan. Sebagai contoh peristiwa 9, 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah peristiwa-peristiwa yang berlaku dizaman Nabi Ibrahim tetapi dijadikannya sebahagian dari syariat Nabi Muhammad.

Begitu juga 10 Muharam, asalnya orang-orang Yahudilah yang menyambutnya dengan berpuasa sebagai tanda syukur bahwa Allah menolong Nabi Musa dan Bani Israil dari kezaliman tentera Firuan dan menenggelamkan mereka di Laut Merah. Lalu Nabi memberitahu sahabatnya bahawa kita lebih berhak menyambut hari tersebut dari orang-orang Yahudi dengan berpuasa pada 9 dan 10 Muharam. ( sila rujuk sirah Nabi Ibnu Hisyam ).

Dan sudah tentu banyak lagi peristiwa-peristiwa yang dijadikan syariat bagi umat ini mengikut tarikh-tarik tertentu . Mengenang peristiwa dan menghurmati setengah-setengah tempat telah diajar dalam syariat kita. Ini banyak dicontohi oleh Nabi sendiri. Beliau bukan sahaja menyambut dan menghurmati hari-hari tertentu itu bahkan Jibril memberitau Nabi tempat-tempat yang mempunyai sejarah dalam dunia Islam. Jika kita perhatikan perjalanan Nabi waktu Isra' dan Mi'raj Nabi diajak oleh Malaikat Jibril agar berhenti dari perjalanan dan melakukan solat kerana mengambil 'tabarruk' dari tempat-tempat tertentu seperti tempat lahirnya Nabi Isa, kubur Nabi Musa dan sebagainya.

Kesimpulan dari yang disebutkan diatas, Nabi sendiri menyambut peristiwa-peristiwa besar sama ada dari sudut zaman ( tarikh ) dan makan ( tempat ). Baginda sangat mencintai tempat-tempat sejarah dan tempat-tempat yang mempunyai kenangan yang manis waktu kecilnya, baginda juga tidak ketinggalan menziarah kubur para shuhada' Uhud kerana mengenang jasa-perjuangan mereka. Kesemuanya ini ( menghurmati tempat dan menyambut hari-hari tertentu ) adalah syiar Islam yang diajar oleh Allah kepada kita menerusi perbuatan Nabinya. Nabi sendiri menyambut hari kelahirannya dengan berpuasa pada setiap hari Isnin. Walaupun ianya sebagai syiar Islam yang murni tetapi ianya juga menguatkan dan memantapkan jiwa perjuangan.

Memberi penghurmatan bagi tempat-tempat suci dan sejarah Islam dan menyambut hari-hari kebesaran Islam hanya terbit dari hati yang bertaqwa, firman Allah dalam surah Al-Haj ayat 32:
Barangsiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah sesungguhnya ianya adalah terbit dari hati-hati yang bertaqwa.

Penjelasan dari ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa mengikut kaedah 'Fahmul Mukhalafah' iaitu makna sebalik dari pengertian ayat diatas bahawa mereka-mereka yang tidak mengagungkannya adalah kerana ketandusan hati dari taqwa. Dan ciri-ciri orang yang bertaqwa mereka-mereka yang menyambut hari kelahiran Nabi Pembimbing Manusia kejalan ketaqwaan.
Allah bukan sahaja menyuruh kita agar mengagungkan hari-hari atau tempat-tempat yang menjadi syiar Islam sahaja malah Allah menyuruh kita agar bergembira dengan rahmat dan kurniaannya. Dalam hal menyambut kelahiran Nabi termasuk hal-hal yang mengembirakan orang-orang Islam kerana dengan wujudnya Nabi adalah rahmat Allah yang terbesar sebagaimana firman yang termashur dalam surah Al-Anbiya ayat 107 : Tidak kami utusmu ( wahai Muhamad ) melainkan sebagai rahmat sekalian alam. Firman Allah yang membawa makna agar kita bergembira dengan rahmatnya , dalam surah Yunus ayat 58 :
Katakanlah( wahai Muhamad ), hendaklah mereka bergembira dengan kelebihan dan rahmat yang dikurniakan oleh Allah kepada mu.

Mereka-mereka yang tidak gembira dengan rahmat Allah yang besar ini ( kelahiran Nabi ) dalam rangka bersyukur kepada ni'matNya adalah lebih hina disisi Allah dari Abu Lahab kerana beliau sendiri bergembira pada malam kelahiran Nabi hingga sanggup memerdekakan seorang hambanya.

Untuk membuktikan demikian, telah berkata Al-Hafiz Syamsuddin Muhamad Nasiruddin Ad-Dimisyqi dalam syairnya:
Kalaulah si kafir ini yang sudah tentu dicela di dalamAl-Quran di neraka JahimTersebut pada setiap Isnin senantiasa dianugerahi keringanan siksa kerana gembiranya tentang kelahiran NabiApatah lagi seorang hamba yang sepanjang hayatnya bergembiraMenyambut Maulid junjungannya dan mati dalam keadaan mengesakan Tuhannya.

Kisah ini diriwayatkan dalam Sohih Bukhari , bab nikah dan dinukil oleh Ibnu Hajar dalam kitabnya Al-Fath . Juga diriwayatkan oleh Imam Abdur Razak As-San'ani dalam kitabnya Al-Musannif ( jilid 7 m/s 478 ), Al-Hafiz dalam kitabnya Ad-Dala'il, Ibnu Kathir dalam kitabnya Al-Bidayah bab As- Sirah An-Nabawiyyah ( jilid 1 m/s 224 ). Ibnu Dibai dalam kitabnya Hada iqul Anwar ( jilid 1 m/s 134 ), Imam Hafiz Al-Baghawi dalam kitabnya Syarah As-Sunnah ( jilid 9 m/s 76 ), Ibnu Hisyam dan As-Suhaili dalam kitab Ar-Raudhul Unuf ( jilid 5 m/s 192 ), Al-Amiri dalam kitabnya Bahjatul Mahaafil ( jilid 1 m/s 41 ).

4- Kisah Maulid Nabi Adalah Penguat Jiwa Umatnya.

Kesemua sempena dan kisah-kisah sejarah para Nabi yang telah diceritakan Allah dalam Al-Quran itu menguatkan perjalanan da'wah Nabi s.a.w dan jiwanya, firman Allah dalam surah Hud ayat 120:
Dan tiap-tiap perkhabaran yang Kami ( Allah ) khabarkan kepadamu ( Wahai Muhammad ) dari cerita Rasul-rasul itu adalah sebagai penetap hatimu.
Para Ulama' telah memberikan penjelasan dari ayat diatas bahwa jika cerita-cerita para Nabi itu yang telah diceritakan Allah dalam Al-Quran itu, adalah sebagai penguat atau penetap hati atau jiwanya maka sudah tentu kisah-kisah dalam hidup Penghulu segala Rasul itu ( Muhammad s.a.w ) dari sudut kelahiran, perjuangan dan akhlak baginda ( sebagaimana yang tersebut dalam kebanyakkan kitab-kitab Maulid ) sebagai penguat dan penetap jiwa dan hati umatnya.

5-Puji-pujian Terhadap Nabi Adalah Ciri Kecintaan dan Keimanan.

Sebelum kita membincangkan lebih lanjut mengenai puji-pujian, madah dan sebagainya perlu kita terlebih dahulu melihat dahulu samada perkara ini sabit dalam syara' atau tidak. Puji-pujian yang dimaksudkan disini adalah puji-pujian yang membangkitkan keinsafan dalam hati pemuji sebagai tanda syukur kerana telah dianugerahkan Allah kepadanya Nabi Pembimbing Yang Agung itu dan sebagai pendorong untuk memuliakannya sebagaimana yang diperintahkan Allah lalu terlihat keagungan peribadinya agar pemuji itu dibukakan pintu untuk mencintainya lalu segala tindak-tanduk yang dicintai itu mudah diikuti.

Kami mulakan perbincangan ini dengan sebuah Hadith yang telah disalah tafsirkan oleh sebilangan manusia dan dijadikan dalil bagi hujjah-hujjah yang tidak pada tempatnya iaitu sabda Nabi s.a.w :
Jangan kamu mendewakan ku sebagaimana orang-orang Nasrani mendewakan anak Maryam.
Penjelasan dari Hadith diatas bahawa larangan itu dari sudut 'mendewakan' kerana dalam bahasa Arab perkataan ( Atra ) yang dilarang artinya melampaui dalam puji-memuji atau lebih tempat dengan perkataan mendewakannya. Larangan ini sebenarnya berdasarkan perbuatan orang-orang Nasrani yang telah mendewakan Isa itu hingga mereka mengatakan : 'Isa itu anak tuhan' lalu mereka telah melakukan syirik dalam memuji-muji nabi mereka tanpa disedari.

Adapun memuji Nabi s.a.w dengan penuh i'tiqad bahawa beliau adalah manusia biasa dan hamba Allah dan utusannya dan menjauh segala 'pendewaan' terhadapnya adalah suatu perkara yang dibolehkan kerana beliau adalah manusia yang paling sempurna dalam mentauhidkan Allah dari kalangan manusia.

Memuji-muji beliau seperti ini bukan sahaja dibolehkan bahkan digalakkan kerana termasuk salah satu perintah Allah yang umum yang berbunyi :
Sesungguhnya kami mengutusmu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasulnya, memuliakannya ( Rasul ) dan menghurmatinya ( Rasul ) dan bertasbih kepadaNya ( Allah ) di waktu pagi dan petang. (Surah Al-Fath ayat 8-9)

Dari ayat diatas secara umum memuliakan nabi bukan setakat memuji-muji tetapi juga mengikuti setiap jejak langkahnya atau syariat Allah. Walaubagaimanapun masih terdapat ramai para sahabat yang senang dengan memuji-muji Nabi baik secara tulisan mahupun secara lisan.(sila rujuk sejarah peradaban sastera Arab zaman Muhadrami ).

Sebagai menguatkan contoh diantara para sahabat yang sibuk membela Nabi dengan syairnya dengan puji-pujian, beliau adalah Hasan Bin Sabit r.a . Beliau mohon izin dari Rasulullah s.a.w untuk membelanya dan menyerang orang-orang musyrikin tanpa mengikuti dalam peperangan jihad, lalu apabila ditanya oleh Rasulullah ,bagaimanakah caranya itu beliau menjawab dengan tulisan-tulisanku, lantas Rasulullah meluluskan permohonannya sambil bersabda : Serangilah mereka , Ruh Qudus ( Jibril a.s. ) bersamamu dan tanyalah Abu Bakar ( mengenai kelemahan-kelemahan orang-orang musyrik yang akan diserang ). ( sila rujuk kitab Ibnu Hisyam dalam perihal penyair Muhadrami dari kalangan sahabat ).

Dan banyak lagi penyair-penyair Islam dalam kalangan sahabat yang tidak lari dari memuji-muji Nabi dan tidak sedikit pun ditegur oleh Nabi atau melarangnya. Malah Ka'ab bin Zuhair r.a pernah membaca beberapa rangkap qasidah yang ada didalamnya puji-pujian kepada Nabi sebaik sahaja selepas menunaikan solat di masjid lantas Nabi menghadiahkan langsung pakaian 'burdah' (selimut pada musim sejuk ) kepadanya. ( sila rujuk kitab Adab Nususuhu wa Tarikhuhu).

Kami kira cukuplah satu contoh puji-pujian yang dibolehkan sebagai satu dorongan kepada kita untuk melihat atau membuat rujukan dalam dunia sastera Arab dan syairnya dalam zaman Nabi dalam kitab-kitab sastera. Kami tidak bawakan disini Nas atau syair-syair mereka kerana seluruh perengan syairnya berkaitan dan tidak mudah difahami dengan menyebut sebaris dua.
Sebagai ringkasan untuk menguatkan hujjah selepas meneliti syair puji-pujian dari sudut sastera Arab dan penyair dari kalangan sahabat marilah kita melihat salah satu Hadith dari beberapa Hadith yang mengizinkan memuji Nabi , dari Anas bin Malik berbunyi:
Beberapa orang Habsya telah menari dihadapan Nabi dan mereka berkata : 'Muhammad Hamba yang Solih'( dalam bahasa mereka ). Maka bertanya Rasulullah s.a.w " Apa yang mereka katakan ? Dikatakan : Mereka mengatakan : 'Muhammad Hamba yang Solih'. Maka apabila Rasulullah s.a.w melihat mereka dalam keadaan sedemikian beliau tidak mencegah mereka dan beliau bersetuju atas perbuatan mereka. ( Hadith riwayat Imam Ahmad ).

Hadith ini juga adalah salah satu dari Hadith Taqrir yang mana persetujuan Nabi diperolehi menerusi diamnya. Dan dari perbuatan para sahabat dan keterangan dari Hadith jelas bahawa puji-pujian termasuk ciri kecintaan dan keimanan.

6- Amalan Sambutan Maulid Nabi Berasal Dari Amalan Para Ulama'

Marilah kita merenung sejenak dan membaca pandangan-pandangan para ulama kita yang menjadi pewaris para nabi mengenai harusnya menyambut Hari Keputraan nabi sebelum kita membuat keputusan yang melulu dari akal fikiran kita yang citik diikuti pula dengan kejahilan dalam hukum ahkam agama. Diantaranya :

1- Imam Abu Said Al-Hasan Al-Basari r.a. lahir pada tahun 21hj dan wafat pada 110hj. Beliau termasuk dalam golongan tabi'in dan ulama dalam kalangan mereka menurut setengah riwayat beliau pernah berjumpa dengan Saiyidina Ali k.m. Beliau berkata :
Sekiranya aku mempunyai emas sebesar bukit Uhud akan aku nafkahkan untuk membaca Maulidur Rasul.
Selain dari ganjaran yang terdapat dalam menafkahkan harta-benda dalam majlis sambutan maulid, kata-kata ini juga membayangkan sejarah perkembangan awal Islam dan 'lampu hijau' bagi kita untuk sambut dan membaca maulid.

2- Sheikh Ma'ruf bin Fairuz Al-Karkhi r.a. seorang ulama tasauf pada zamannya . Beliau wafat pada tahun 200hj beliau telah berkata :
Barangsiapa menyiapkan makanan bagi bacaan maulid nabi s.a.w dan mengumpulkan saudara-saudara dan memasang lampu-lampu dan memakai pakaian bersih dan kemas dan berwangi-wangian dan bercantik-cantik kerana mengagungkan majlis maulid nabi s.a.w . Allah akan kumpulkannya pada hari kiamat bersama-sama golongan pertama dari golongan para nabi dan berada di dalam shurga Illiyin.
Moga-moga kita diberi hidayat dan taufiq untuk menghadirkan diri di majlis-majlis maulid kerana kelebihan-kelebihannya yang besar ini.

3- Sheikh Sirri bin Mughallis As-Saqhoti r.a. . Seorang ulama tasauf yang telah wafat pada tahun 253hj. Telah berkata :
Barangsiapa menuju ke suatu tempat yang ada disana bacaan maulid Nabi s.a.w. Maka sesungguhnya dia menuju sebuah taman dari taman-taman syurga kerana dia tidak menuju ke tempat demikian melainkan kerana cinta kepada Rasullulah. Dan telah bersabda: Barangsiapa mencintaiku dia akan bersamaku disyurga.

4-Al-Imam Ahmad Ibnu Hajar Al-Haithami, seorang faqih bermazhab Shafie, lebih terkenal dengan Ibnu Hajar Al-Haithami , beliau dilahirkan pada tahun 909hj dan wafat pada tahun 974hj.Beliau telah membuat komentar dalam kitab Fatwanya dalam bab Perhimpunan dengan bacaan Maulid atau zikir-zikir m/s 150 cetakan Maktabah Mustafa berbunyi ,telah ditanyakan mengenai hukum majlis-majlis maulid dan majlis-majlis zikir yang telah dilakukan oleh orang ramai pada zaman itu samada ianya adalah sunnah atau satu kelebihan atau bid'ah yang keji ? Lalu Ibnu Hajar menjawab :
Majlis-majlis maulid dan zikir-zikir yang sedang dilakukan sepertimana ditempat kami kebanyakannya mengandungi kebaikan seperti sedeqah, zikir , doa dan selawat keatas nabi s.a.w dan memujinya ........( sila Fatawa Hadithiya ).

5- Imam Abu Shamah An-Nawawi dilahirkan pada tahun 631hj dan wafat pada tahun 676 hj. Seorang ulama mujtahid mazhab As-Shafie beliau berkata :
Adalah sebaik-baik bid'ah di zaman kita ini ialah yang kita lakukan pada tiap-tiap tahun yang bertetapan dengan hari kelahiran Rasulullah s.a.w dari bersedeqah, berbuat baik, menzahirkan keindahan dan bergembira. Kerana dengan demikian ada kebaktian kepada orang-orang faqir dan dengan demikian dapat dirasakan kecintaan kepada Rasulullah dan keagungannya dijiwa-jiwa mereka yang mengamalkannya. Juga sebagai tanda syukur kepada Allah kerana telah mengutus nabinya pembawa rahmat bagi sekalian alam.

6- Al-Imam Abu Muhamad Abdullah Al-Yafi'e , seorang faqih bermazhab Shafi'e wafat pada tahun 768hj. Beliau berkata :
Barangsiapa mengumpulkan saudara-saudaranya untuk menghadiri majlis maulid nabi s.a.w dan menyiapkan makanan dan memenuhkan ruang-ruang kosong dan berbuat baik dan dia menjadi sebab untuk bacaan maulid nabi s.a.w. Dibangkitkan Allah s.w.t pada hari qiyamat bersama-sama orang-orang yang benar, para syuhada' dan para solihin dan dia akan di tempatkan di Janatun Naim.

7-Sheikul Islam Ibnu Taimiah , beliau wafat pada tahun 652hj. Telah berkata :
Kadangkala segolongan manusia mendapat pahala ketika menyambut maulid. Begitu juga apa-apa yang dilakukan oleh setengah orang sama ada tujuan menyambutnya adalah menyerupai orang-orang Nasrani ketika mereka menyambut hari jadi Nabi Isa a.s. ( dengan cara yang tidak diredhai ) atau kerana kasihkan Nabi Muhamad s.a.w dan memuliakan baginda, maka Allah mungkin memberi pahala kerana kecintaan ini dan kesungguhannya, tidak kerana bid'ahnya amalan ini.


7- Beberapa kitab Maulid hasil karangan Para Ulama.

Kitab-kitab mengenai kisah Maulid Nabi s.a.w terlalu banyak sekali, ada yang berupa syair, ada yang berupa prosa, ada yang pendek, ada yang sederhana dan ada yang panjang. Tetapi menerangkan satu persatu itu bukanlah tujuan kami disinioleh itu cukuplah hanya menyebut nama-nama para ulama besar yang telah mengarang kitab-kitab maulid yang masyur saja.
Diantaranya ialah :

1- Al-Hafiz Muhammad bin Abu Bakar bin Abdullah Al-Qaisi Ad-Dimasyqi,di kenali sebagai Ibnu Nasiruddin , dilahirkan pada tahun 777hj dan wafat pada tahun 842hj seorang Imam yang alim, hafiz,ahli tarikh dan ahli Hadith . Berjawat sebagai seorang guru di Darul Hadis Al-Asyrafiah.Di antara karangan-karangannya yang banyakitu adalah sebuah kitab Maulid bernama Maurid as-Saadiy fi al-Maulid al-Hadiy.

2- Al-Hafiz Abdurrahim bin Husein bin Abdurrahman Al-Masri, yang lebih terkenal dengan nama Al-Hafiz Al-Iraqi, beliau lahir pada tahun 725hj dan wafat pada 808 hj. Beliau mempunyai ilmu yang mendalam mengenai Hadith, isnadnya dan hafalannyayang teliti. Beliau menjadi tempat rujukan pada masalah agama di negeri Mesir. Di antara karangannya yang banyak menyentuh tentang pelajaran Hadith ialah kitab Maulid Nabi s.a.w bernama : al-Maurid al-Haniy fi al-Maulid as-Sunniy

3- Al-Hafiz Muhammad bin Abdurrahman bin Muhammad Al-Qahiri lebih terkenal dengan namaAl-Hafiz As-Sakhawi. Beliau dilahirkan pada 831hj dan wafat pada 902hj di kota Madinah. Beliau adalah seorang ahli tarikh dan ulama yang termashur. Telah berkata Ibnu Fahd bahawa beliau mempunyai kelebihan dalam mengenal nama-nama perawi Hadith, keadaanya dan segala yang bersangkutan dengannya sehingga tidak ada seorang pun dari ulama yang setanding dengan As-Sakhawi dalam bidangnya sesudah Imam Az-Zahabi. Tertulis di dalam kitab Kasfuz Zunun bahawa Imam As-Sakhawi ini ada mengarang sebuah kitab Maulid.

4- Imam Mulla Ali sebagai seorang diantara ulama'mujtahid yang termasyur dan ahli tarikh telah mengarang sebuah kitab maulid bernama : al-Maurid ar-Rawiy fi al-Maulid an-Nabawy

5- Al-Hafiz Al-Imam Imadudin Ismail bin Umar bin Kathir, lebih terkenal dengan nama Ibnu Kathir empunyai kitab tafsir . Beliau berguru kepada Ibnu Taimiyah dan sangat mengasihinya , beliau wafat pada tahun 774hj. Ibnu Kahtir ini telah mengarang sebuah kitab maulid yang kemudiannya dicetak dengan suntingan Dr Salahuddin Al-Munjid.

6- Sheikh Abu Ja'far Barzanji seorang ulama yang terkenaldi kota Madinah beliau meninggalkan sebuah kitab maulid yang dikenali sebagai Kitab Maulid Barzanji.

7- Al-Hafiz Wajihuddin Abdurahman bin Ali bin Muhammad As-Syaibani,berasal dari negeri Yaman dilahirkan pada tahun 866hj dan wafat pada 944hj . Beliau adalah seorang ulama yang besar pada zamannya. Kepadanya sahajalah jatuhnya segala salasilah sanad guru-guru Hadith menyebabkan beliau digelar Masnad -ad-Duniya fi 'ilmil hadith.Di antara kelebihannya dalam ilmu Hadith ini beliau dapat menghuraikan Sohih Bukhari dalam masa enam hari. Diantara karangannya yang banyak itu ialah sebuah kitab maulid bernama Al-Maulid as-Sahrif kemudian lebih terkenal dengan Maulid Ad-Dibai.

Sekian sahaja diantara para ulama yang besar yang dapat kami nukilkan disini buat pengetahuan mereka yang belum ketahuinya. Moga-moga kita sentiasa memikir dahulu sebelum mengorak langkah.


Friday, February 13, 2009

Anak Yang Soleh


Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah SWT. Setiap
kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia
akan bercakap dengan Allah SWT. Nabi Musa sering bertanya dan Allah SWT akan menjawab
pada waktu itu juga. Ini lah kelebihannya yang tiada pada nabi-nabi lain. Suatu hari Nabi
Musa bertanya kepada Allah SWT...
“Ya Allah siapakah orang yang di syurga nanti akan berjiran dengan aku ?”.
Allah SWT menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya.
Setelah mendapat jawapan Nabi Musa turun dari bukit dan terus berjalan menuju ke tempat
yang diberitahu.
Setelah beberapa hari dalam perjalanan akhirnya beliau sampai ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa penduduk di situ beliau berjaya bertemu dengan orang
tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan
rumah tidak melayan Nabi Musa dan terus masuk ke bilik dan melakukan sesuatu. Sebentar
kemudian dia keluar sambil membawa seekor khin’zir betina yang besar dan didokong
dengan cermat. Nabi Musa terkejut dan bertanya “Apa hal ini ?” di dalam hatinya penuh
kehairanan. Khin’zir itu dimandikan dan dibersihkan dengan baik, dikeringkan, dipeluk dan
diciumnya. Selepas itu orang tersebut membawa keluar pula seekor khin’zir jantan dan
dilakukan serupa dengan khin’zir betina tadi.
Setelah selasai tugasnya, barulah orang itu melayan Nabi Musa dan lalu bertanya,
“Wahai saudara, apa agama kamu ?”.
“Tauhid agamaku”, jawab orang itu iaitu agama Islam.
“Mengapa kamu membela khin’zir, kita dilarang berbuat begitu”, kata Nabi Musa.
“Wahai tuan hamba, sebenarnya kedua-dua ekor khin’zir itu adalah kedua ibu-bapaku”,
terang orang itu. “Oleh kerana kedua-dua mereka telah melakukan dosa besar, Allah SWT
telah menukarkan rupa mereka kepada khin’zir. Soal dosa mereka dengan Allah adalah
urusan mereka dan urusan Allah. Aku sebagai anaknya akan berbakti dan tetap
melaksanakan kewajipan sebagai anak sepertimana yang tuan hamba lihat tadi walaupun
mereka telah bertukar menjadi khin’zir”, jelas dengan orang itu lagi.
“Setiap hari aku berdoa kepada Allah SWT agar dosa mereka diampunkan serta menukarkan
wajah mereka seperti manusia biasa”, tambah orang itu lagi.
Maka ketika itu juga Allah SWT menurunkan wahyuNya kepada Nabi Musa.
“Wahai Musa inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti, daripada hasil
baktinya yang terlalu tinggi kepada kedua ibu-bapanya, walau pun telah berubah kepada
khin’zir. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak yang soleh di sisi Kami. Oleh kerana
dia telah berada dimaqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami makbulkan doanya.”

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Itulah berkat doa anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa kedua ibu-bapa.
Walau macam mana buruk kedua ibu-bapa dan dosa kedua ibu-bapa kita, itu adalah bukan
urusan kita. Urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sepertimana
mereka menjaga kita sewaktu masih kecil lagi hinggakan dewasa. Walau banyak mana dosa
yang dilakukan, urusan kita ialah memohonkan ampun kepada Allah SWT, semoga mendapat
tempat di akhirat dan alam kubur. Erti kasih sayang kepada ibu bapa bukanlah wang ringgit,
cukuplah dengan doa agar mendapat tempat di sisi Allah SWT.

Chat Box